Source: http://www.freemalaysiatoday.com/category/nation/2012/12/20/senator-dap-buat-laporan-polis-terhadap-muhyiddin-portal-berita/
(By Jamilah Kamarudin, 20/12/2012)
Naib
Pengerusi DAP, Senator Dr Ariffin SM Omar hari ini membuat laporan polis
terhadap Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan laman portal,
Antarapos kerana menuduhnya mengamalkan perkauman sempit.
Ariffin
yang ditemani peguam iaitu ahli parlimen Segambut Lim Lip Eng membuat laporan
tersebut di Balai Polis Tun H S Lee di Jalan Stadium dekat sini tengahari tadi.
Laporannya terhadap Muhyiddin itu berdasarkan petikan berita “Kenyataan Ariffin
Melayu Punca Rasuah Diselar” pada 18 Disember lalu apabila menyifatkan ia
sebagai satu perbuatan bodoh dan sangat tidak bertanggungjawab. Respon itu
dibuat Muhyiddin selepas Antarapos dalam laporannya 15 Disember lalu memetik
Ariffin sebagai berkata rasuah boleh dibanteras dengan lebih berkesan jika
perkhidmatan awam dan polis tidak dimonopoli oleh kaum Melayu sahaja. Beliau
ditemuramah portal itu selepas menyampaikan ucapan usul Kongres Kebangsaan DAP
Ke-16 di Pulau Pinang minggu lalu.
“Ini
merupakan fitnah semata-mata kerana saya tidak pernah menyatakan bahawa punca
rasuah dalam perkhidmatan awam adalah kerana monopoli orang Melayu.
“Dalam
wawancara bersama wartawan Antarapos saya telah mengatakan bahawa negara kita
akan lebih aman dan stabil dengan adanya perkhidmatan awam yang terdiri
daripada berbilang kaum, saya juga telah menambah bahawa ini membolehkan
pencegahan rasuah.
“Justeru
adalah jelas bahawa kenyataan saya telah diputar belit dan digunakan Timbalan
Perdana Menteri untuk menuduh saya melakukan perbuatan bodoh dan sangat tidak
bertanggungjawab, ini jelas mencemarkan reputasi saya dan lebih teruk lagi
mengaitkan saya kepada kenyataan hasutan dan berunsur perkauman,” katanya dalam
laporan polis. Sehubungan itu beliau mahu polis mengambil tindakan susulan
kerana percaya dirinya difitnah melalui laporan media tersebut yang antara
lainnya merupakan satu kesalahan dibawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan, dan
Seksyen 211 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Beliau
ketika ditemui pemberita berkata pihaknya masih lagi membuat pertimbangan sama
ada untuk membawa kes ini ke mahkamah bagi menuntut ganti rugi.