Ahli parlimen Segambut Lim Lip Eng hari ini mempertikaikan tindakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang didakwa memberikan jawapan bercanggah berhubung status projek bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK9). Katanya, Najib dalam jawapan lisannya di Dewan Rakyat pada April lalu menyebut, sebanyak 705 buah projek berada dalam status Belum Mula.
Jawapan itu adalah bagi soalan yang dikemukakan ahli parlimen Setiawangsa Datuk Zulhasnan Rafique. Bagaimanapun, dalam jawapan bertulisnya kepada Lim (kiri), Najib menyebut hanya 11 buah projek yang berstatus Belum Mula bawah RMK9, melibatkan peruntukan sebanyak RM82 juta.
"Macam mana soalan sama tapi jawapan berbeza-beza?," soal Lim dalam sidang media di pusat khidmatnya di Segambut,
Beliau juga percaya, Najib yang juga pengerusi BN bertindak sedemikian dengan tujuan "menutup kelemahan mereka dan mengelirukan rakyat". "Bukti ini menguatkan lagi kepercayaan saya bahawa kerajaan BN, dalam memberi jawapan kepada rakyat di parlimen, kebanyakan daripadanya adalah salah, palsu dan (besifat) penipuan," katanya.
Statistik dikawal agensi kerajaan
Beliau juga yakin, pendedahan itu hanyalah gambaran kasar daripada masalah yang lebih besar. "Sebab kebanyakan jawapan yang kami terima di parlimen, (wakil rakyat pembangkang) tidak boleh sahkan. "Semua data statistik ini dikawal oleh agensi bawah kerajaan BN," katanya. Tambahnya, dengan "pembongkaran" tersebut, beliau berharap BN akan bersikap lebih telus dan jujur semasa memberikan jawapan di parlimen. "Kita jangka kerajaan akan bentangkan cadangan untuk projek-projek raksasa (dalam pembentangan RMK10). "Harapan kami (wakil pembangkang) ini bukan hanya satu sandiwara dengan mengatakan ianya projek untuk rakyat tapi akhirnya ditinggalkan," katanya lagi.
Lim memberi contoh satu projek pembesaran sebatang jalan sepanjang 3 kilometer di Segambut melibatkan kos lebih RM40 juta yang tidak selesai walaupun sudah diluluskan bawah RMK9.
No comments:
Post a Comment