Thursday, August 21, 2008

Pindaan Akta Suhakam diteliti

Berita Harian - Kerajaan kaji beri lebih kuasa pastikan suruhanjaya kekal penarafan status A

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan meneliti keperluan meminda Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) 1999 untuk memberi lebih kuasa kepada badan itu dalam usaha meningkatkan dan mempromosi hak asasi manusia di negara ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, berkata langkah itu bagi memastikan Suhakam sebagai Institusi Hak Asasi Kebangsaan terus berada pada status A seperti yang diiktiraf Jawatankuasa Pemantau Antarabangsa Institusi Kebangsaan untuk Mempromosi dan Melindungi Hak Asasi Manusia (ICC).

Beliau berkata, pada 2006, ICC memutuskan negara yang diberi status A akan dinilai semula dan Suhakam sudah menyerahkan laporan mengenai kedudukannya kepada ICC pada Disember 2007.

"Berdasarkan laporan itu, ICC berpendapat Suhakam tidak menepati Prinsip Paris sepenuhnya dan mengesyorkan taraf Suhakam diturunkan daripada status A kepada B.

"Namun begitu, Suhakam masih berada pada kedudukan status A dan sudah diberi tempoh sehingga April 2009 untuk mencapai standard yang ditetapkan ICC," katanya menjawab soalan bertulis Lim Lip Eng (DAP-Segambut) yang ingin mengetahui alasan ICC terhadap perkara itu.

Baru-baru ini, ICC memberi tempoh setahun kepada Suhakam memberi jawapan bertulis kerana tidak mengikut Prinsip Paris yang akan menyebabkannya diturunkan gred daripada A kepada B.

ICC dilaporkan tidak berpuas hati terhadap beberapa isu seperti tempoh perkhidmatan anggota Suhakam yang hanya dua tahun dan kekurangan peruntukan dalam Akta Suhakam 1999 yang memastikan anggotanya diambil daripada pelbagai bidang berkaitan hak asasi manusia.

Abdullah berkata, pada 23 Julai lalu, Suhakam bersama-sama Kementerian Luar, Jabatan Peguam Negara dan Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang mengadakan mesyuarat bagi membincangkan kaedah terbaik memastikan Suhakam terus berada pada status A.

"Antara cadangan yang dibangkitkan Suhakam adalah pindaan akta dan beberapa keputusan dasar yang akan memberikan kebebasan kepada Suhakam menjalankan fungsinya tanpa terikat dengan mana-mana panduan. Bagaimanapun, perkara ini masih pada peringkat kajian dan penelitian," katanya.

Abdullah memberi jaminan kerajaan akan mengambil langkah sewajarnya bagi memastikan Suhakam terus berada pada status A agar Malaysia lebih dihormati masyarakat antarabangsa.
sebagai negara yang bebas dan merdeka serta hak asasi rakyat terpelihara

No comments: