Wednesday, May 7, 2014

DAP dan MCA buat laporan polis terhadap Isma

Ahli Parlimen Segambut Lim Lip Eng dalam kenyataannya berkata laporan yang dibuat itu bertujuan menggesa pihak polis untuk segera mengadakan siasatan kerana kenyataan itu jelas bakal menjejaskan perpaduan keharmonian diantara kaum. – Gambar The Malaysian Insider oleh Afif Abd Halim
Dua parti yang berasaskan Cina, DAP dan MCA membuat laporan polis hari ini susulan daripada kenyataan NGO Islam, Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) yang mendakwa kaum Cina penceroboh bersama penjajah British‎.
Ahli Parlimen Segambut Lim Lip Eng dalam kenyataannya berkata laporan yang dibuat itu bertujuan menggesa pihak polis untuk segera mengadakan siasatan kerana kenyataan itu jelas bakal menjejaskan perpaduan keharmonian diantara kaum.
"Hari ini kita hadir bersama dan kita membuat sebanyak 9 laporan daripada DAP, untuk pihak polis segera menyiasat dibawah Akta Hasutan, Suruhanjaya Komunikasi atau apa sahaja akta yang berkaitan," katanya pada pemberita di hadapan Balai Polis Dang Wangi hari ini.
Kata Ahli Parlimen itu beliau juga mendesak, pihak berkuasa untuk segera menyiasat siapakah sebenarnya yang menulis kenyataan itu adakah Presiden Abdullah Zaik Abdul Rahman atau pun sebaliknya.
Terdahulu‎, MCA yang diwakili Biro Undang-Undang Pemuda Eric Choo Wei Sern turut membuat laporan terhadap NGO Islam itu di balai polis yang sama,
"Ini merupakan perkara yang tidak patut berlaku menuduh kaum Cina sebagai penceroboh tanah Melayu.
"Pihak berkuasa tidak boleh membiarkan perkara ini berlaku, mereka harus segera bertindak, agar ia tidak menjadi kritikal lagi," katanya.
Pada masa sama Lim juga menegaskan ‎bahawa DAP selama ini mengiktiraf Perlembagaan Persekutuan iaitu meletakkan agama Islam sebagai agama rasmi negara.
"Laporan ini tidak bermaksud kita menentang orang Melayu, atau Islam tidak kerana kita cukup menghormati Perlembagaan Persekutuan," katanya.
Lim juga berharap agar pihak berkuasa kali ini dapat bertindak ke atas presiden NGO tersebut.
"Kita tahu ini bukan kali pertama NGO itu mengeluarkan kenyataan yang berkaitan dengan sensitiviti kaum dan bukan kali pertama pihak polis hanya berdiam diri akan hal ini.
"Kita ingin mendesak pihak polis kalau Ahli Parlimen Seputeh boleh didakwa kenapa tidak presiden tersebut yang secara jelas menghina kaum Cina," katanya.
Lim juga berkata, pemimpin termasuk pemuda DAP seluruh negara akan terus membuat laporan polis mengenai perkara ini.
"‎Pemuda DAP, dan ahli parlimen seluruh negeri akan membuat laporan polis hari ini seperti di Mantin, Negeri Sembilan, Sabah, Ipoh dan banyak lagi," katanya.
Susulan daripada kenyataan kontroversi itu, hari ini Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar mengesahkan presiden Islam Abdullah Zaik disiasat mengikut Akta Hasutan susulan kenyataan dikeluarkannya berhubung kaum Cina yang dibawa ke Tanah Melayu adalah "penceroboh".
Khalid dalam satu kenyataannya berkata, Abdullah sedang disiasat berikutan kenyataannya itu.
Khalid  juga memberi amaran akan bertindak kepada mana-mana pihak yang cuba membuat kenyataan yang mengapikan permusuhan.
Semalam Abdullah Zaik dalam laman web rasmi Isma berkata, orang Cina yang datang ke Tanah Melayu adalah "penceroboh" dan mempersoalkan kerakyatan dan kekayaan yang diberikan kepada mereka tetapi tidak menyatakan bagaimana ia bercadang untuk membetulkan yang dikatakan salah ini.
"Siapa yang memberikan mereka kewarganegaraan dan kekayaan sehingga keputusan menceroboh mereka dilindungi sehingga hari ini?
"Ini semua perlakuan British, yang berada dalam kumpulan yang sama dengan China untuk menindas dan membuli orang Melayu," katanya dalam satu kenyataan, seperti yang dilaporkan di laman web kumpulan itu.
Abdullah berkata, ini adalah satu kesilapan yang terpaksa diperbetulkan tetapi beliau tidak mengatakan bagaimana.
"Tiada siapa yang mempunyai hak untuk menggadaikan kedaulatan Islam dan Melayu di atas tanah ini," katanya, semalam.

No comments: