Thursday, June 12, 2014

Nancy perjelas mengapa kerajaan upah peguam swasta

Pada tahun 2012 dan 2011, tidak terdapat sebarang pengambilan peguam swasta oleh pihak kerajaan.
KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Nancy Shukri menjelaskan berkenaan nama kes dan nama peguam swasta yang telah dilantik oleh pihak kerajaan sejak tahun 2010.
Menurutnya, pada tahun lalu, peguambela Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah telah diambil berkhidmat dalam kes rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi melepaskan dan membebaskan Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada pertuduhan melakukan kesalahan liwat.
“Pada tahun 2012 dan 2011, tidak terdapat sebarang pengambilan peguam swasta oleh pihak kerajaan.
“Pada tahun ini, hingga kini tidak ada lagi kes-kes yang melibatkan perlantikan peguam swasta oleh kerajaan bagi mengendalikan kes-kes pendakwaan, guaman atau inkues,” katanya bagi menjawab pertanyaan lisan Ahli Parlimen, Segambut Lim Lip Eng di Dewan Rakyat hari ini.
Tambah Nancy lagi, pada tahun 2010, peguambela Datuk Tan Hock Chuan telah dilantik bagi tujuan menjalankan inkues kematian mendiang Teoh Beng Hock.
“Pada tahun 2010, peguam-peguam Cecil Wilbert Mohanaraj Abraham, Rishwant Singh Amarjeet Singh dan Sunil Abraham dari tetuan Zul Rafique dan Partners telah dilantik bagi mewakili kerajaan,” katanya.
Ujarnya lagi, peguam-peguam swasta tersebut diambil berkhidmat oleh kerajaan Malaysia berdasarkan pengalaman dan kepakaran mereka dalam mengendalikan kes-kes jenayah dan guaman.
“Pengalaman mereka dalam bidang pengkhususan masing-masing dilihat sebagai nilai tambah kepada penjalanan kes,” ujarnya.
Walau bagaimanapun Nancy memperjelaskan bahawa bayaran untuk perkhidmatan peguam-peguam tersebut hanya boleh didedahkan jika diberikan kebenaran.
“Hal ini kerana perkara tersebut adalah terlindung dan tertakluk kepada kerahsiaan hubungan profesional antara peguam dengan anak peguam,” katanya.

No comments: