Source: http://www.roketkini.com/2014/07/22/kiki-dijatuhkan-hukuman-pemuda-umno-ugut-bakar-ibu-pejabat-dap-dibiarkan/
(22 Julai 2014)
KUALA LUMPUR, 22 JULAI: Sikap berat
sebelah polis dipertikaikan kerana mengambil tindakan berbeza terhadap kelakuan
jenayah yang dilakukan oleh orang awam dan yang dilakukan oleh anggota parti
pemerintah.
Ahli Parlimen Segambut Lim Lip Eng
menyifatkan tindakan polis yang pantas membawa Siti Fairrah Asyikin Kamaruddin
atau Kiki ke muka pengadilan adalah wajar, namun beliau menyatakan kehairanan
kerana belum ada sebarang tindakan diambil terhadap kumpulan Pemuda Umno
Wilayah Persekutuan yang merusuh di Ibu Pejabat DAP, dua bulan lalu.
“Dalam masa lebih kurang satu
minggu, Kiki yang bertindak ganas setelah kereta barunya digesel dan video
perilakunya tersebar ke seluruh negara, terus disiasat, didakwa dan diadili.
“Beberapa persoalan timbul, kenapa
begitu pantas pihak polis bertindak dalam keadaan bukti terhad. Tetapi masih
belum bertindak terhadap perusuh-perusuh Ibu Pejabat DAP meskipun banyak
laporan berita dan dokumentasi dilakukan,” katanya dalam satu kenyataan.
Kiki, wanita pemilik kereta Peugeot
208 yang mengamuk dan merosakkan kereta seorang lelaki warga emas menggunakan
pengunci stereng di tempat meletak kenderaan Pusat Tranformasi Bandar (UTC)
Kuantan ditahan polis untuk membantu siasatan.
Beliau setelah itu didenda RM5,000
dan diperintah melakukan khidmat masyarakat 240 jam oleh Mahkamah Sesyen
Kuantan selepas didakwa di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan
khianat yang boleh membawa penjara maksimum dua tahun, dengan denda atau
kedua-duanya.
Sebaliknya, kata Lip Eng, Ketua
Pemuda Umno Wilayah Persekutuan Razlan Rafii yang mengugut mahu membakar Ibu
Pejabat DAP bukan saja masih bebas, malah mengeluarkan kenyataan tidak
bertanggungjawab “balik Tongsan” terhadap isteri Ahli Parlimen Tanjung Ng Wei
Aik.
“Rusuhan pemuda-pemuda Umno itu
dirakam pelbagai pihak, malah dirakam dan disaksikan pihak polis sendiri.
“Tapi sehingga hari ini tidak ada seorang pun
pelakunya diberkas, ditahan apatah lagi didakwa,” kata Lip Eng. – Roketkini.com
No comments:
Post a Comment