Wednesday, October 8, 2014

Kerajaan Tidak Akan Tangguh Pelaksanaan GST

Source: http://www.mstar.com.my/berita/berita-semasa/2014/10/07/par-gst/ (Oleh: ARIFFUDDIN ISHAK, 7/10/2014)
KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak akan menangguhkan pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang akan bermula pada 1 April 2015.
Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan berkata, tiada sebab untuk menangguhkan pelaksanaan GST kerana semua pihak yang terbabit sudah bersedia dari segi latihan dan sistem data berkaitan.
"Sehingga semalam (6 Oktober), sebanyak 76,315 syarikat telah berdaftar dalam sistem GST.
"Kementerian berpendapat bahawa pelaksanaan GST pada 1 April tahun depan adalah masa yang paling sesuai memandangkan kedudukan ekonomi negara yang stabil dan kadar inflasi yang terkawal pada 3.3 peratus," katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat pada Selasa.
Beliau menjawab soalan Lim Lip Eng (DAP-Segambut) yang bertanya sama ada GST akan ditangguhkan kerana dasar kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai negara berpendapatan tinggi masih belum tercapai.
Mengulas lanjut Ahmad berkata, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) juga sudah bersedia daripada pelbagai aspek termasuk pegawai dan infrastruktur bagi memastikan pelaksanaan GST berjalan lancar.
"Jabatan Kastam telah mengeluarkan Panduan GST iaitu 45 panduan industri dan 16 panduan spesifik sebagai panduan pihak industri.
"Di samping itu juga, tiga buku panduan GST kepada rakyat dan peniaga telah disediakan," katanya.
Tambah Ahmad, bagi memastikan kelancaran GST, JKDM juga sedang dalam proses menambah 677 kakitangan baharu di samping 1,227 kakitangan sedia ada khusus bagi GST.

Related news: Government won’t postpone implementing GST

No change in April 1 GST implementation plan http://www.malaysiakini.com/news/276817

No comments: