Monday, August 25, 2014

Gagal janji keharmonian kaum, Najib perlu contohi tindakan Azhar

SHAH ALAM, 21 OGOS: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak disaran mencontohi tindakan Ketua Pegawai Eksekutif MRT Corp, Datuk Azhar Abdul Hamid yang meletakkan jawatan ekoran kemalangan di tapak pembinaan projek yang meragut nyawa tiga pekerja warga asing, baru-baru ini.
Ahli Parlimen Segambut, Lim Lip Eng, berkata saranan itu perlu diambil Najib ekoran pelbagai krisis dan tragedi yang menimpa negara sejak kebelakangan ini di bawah pentadbirannya.
Katanya, Najib juga gagal mengawal perhimpunan awam yang menimbulkan rusuhan dan kenyataan berbaur perkauman, bahkan Najib dan barisan kabinetnya gagal mengawal sentimen negatif itu terutama ketika negara menghampiri ulang tahun kemerdekaan ke-57.
“Najib gagal menjanjikan keharmonian kaum di saat negara menghampiri ulang tahun kemerdekaan ke-57 beberapa hari sahaja lagi dan beliau langsung tidak menunjukkan sebarang rasa bersalah atau bertanggungjawab ke atas kegagalan itu.
“Najib juga kelihatan selamba sahaja bersetuju dengan kenyataan perkauman, termasuk kenyataan ‘balik Tongsan’ oleh orang sama yang mengetuai rusuhan di ibu pejabat DAP.
“Sewajarnya Najib dan pentadbirannya mencontohi tindakan Ketua Pegawai Eksekutif MRT Corp, Datuk Azhar Abdul Hamid yang meletakkan jawatan,” katanya dalam kenyataan media.
Pada 18 Ogos lalu, mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir membuat kenyataan menarik balik sokongan dan mengkritik kerajaan Najib Razak kerana prestasinya lebih buruk daripada penggantinya, Tun Abdullah Ahmad Badawi.
Mahathir dalam tulisan di blognya menyindir Najibdengan analogi ‘Datuk-datuk’ yang memberikan nasihat salah kepada ‘raja’ hanya kerana ingin menyenangkan hati ketuanya itu.
Mengulas kritikan itu, Lip Eng berkata, pujian atas pendekatan Najib menangani tragedi MH17 yang kononnya lebih hebat daripada Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama dan Presiden Rusia, Vladimir Putin oleh bekas pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishamuddin Hussein tidak boleh menjadi ukuran prestasinya apabila beliau ternyata gagal dalam banyak hal lain.
“Beliau ternyata gagal dalam banyak hal lain. Kejadian di tanah air sendiri terus gagal ditangani termasuk kejadian pencerobohan dan penculikan yang terus berlaku berulang kali di Sabah,” katanya.
Pakatan Rakyat sebelum ini berulang kali mendedahkan salah laku, pembaziran dan kepincangan urustadbir membabitkan pentadbiran Najib setiap kali pembentangan bajet, pada bulan Oktober.
Related news: Berjaya kendali krisis MH17 bukan pengukur prestasi Najib  http://www.themalaysianinsider.com/rencana/article/tajuk#sthash.OzufYNRf.dpuf

No comments: