Saturday, December 19, 2009

Alleged achievements by the Green Minister

Pertanyaan untuk jawapan bertulis di Dewan Rakyat

Lim Lip Eng minta Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air menyatakan 5 cadangan yang telah dibentang dalam Kabinet dan 3 polisi yang telah dilaksanakan dalam usaha Kerajaan menghala ke sebuah negara hijau sejak April 2009.

JAWAPAN:

Tuan Yang Dipertua,

Serperti Ahli Yang Berhormat sedia maklum, Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air telah ditubuhkan pada April 2009 berdasarkan keperluan dan kepentingan semasa yang mana isu-isu berkaitan Teknologi Hijau perlu ditangani dengan kolektif dan efektif. Memandangkan Teknologi Hijau sesuatu yang agak baru di Negara kita, tumpuan Kementerian sekarang ialah kepada aktiviti – aktiviti berbentuk promosi dan kesedaran awam di samping pendekatan untuk memperkukuhkan kerangka institusi. Pembentukan polisi akan dilakukan secara berperingkat – peringkat sesuai dengan Matlamat dan Teras Strategik yang digariskan dalam Dasar Teknologi Hijau Negara. Antara cadangan yang telah dipersetujui oleh Kerajaan ialah pembentukan Dasar Teknologi Hijau Negara untuk dijadikan sebagai panduan dan hala tuju pembangunan teknologi hijau negara. Dasar tersebut telah dilancarkan oleh YAB Perdana Menteri pada 24 Julai 2009 bertempat di Bangunan Pusat Tenaga Malaysia (PTM). Pelancaran ini menandakan Kerajaan serius dalam usaha menentukan arah tuju kepada persekitaran mapan dan bersepadu untuk kepentingan seluruh rakyat. Kabinet juga telah mengambil maklum bahawa bangunan PTM merupakan satu bangunan hijau atau “green energy office” (GEO) iaitu berkonsepkan bangunan tenaga rendah dan mesra alam. Bangunan tersebut dilengkapi dengan system “building integrated photovataic” (BIPV) yang mesra alam kerana tidak mencemarkan serta mengurangkan penggunaan tenaga daripada sumber bahan api fosil. Sehubungan dengan itu, adalah dicadangkan dasar supaya bangunan–bangunan baru khususnya bangunan Kerajaan pada masa akan datang dibina menggunakan system teknologi hijau.

Tuan Yang Dipertua,

Pada 21 Mei 2009 Kerajaan telah melancarkan Green Building Index (GBI) yang merupakan satu indeks penilaian hijau kepada bangunan–bangunan mesra alam. Bangunan – bangunan hijau dapat menjimatkan kos–kos utiliti dan mengekalkan kualiti persekitaran. Bagi menggalakkan teknologi hijau Kerajaan telah memutuskan agar pemilik bangunan yang mendapatkan sijil GBI bermula 24 Oktober 2009 sehingga 31 Disember 2014 mendapat pengecualian cukai pendapatan bersamaan perbelanjaan modal tambahan dalam mendapatkan sijil–sijil tersebut, sepertimana yang diumumkan dalam bajet 2010.

Selain daripada itu, pembeli–pembeli bangunan atau rumah yang mempunyai sijil GBI daripada pemaju–pemaju juga akan mendapat pengecualian duti setem ke atas surat cara pindah milik yang mana jumlah pengecualian adalah bersamaan kos tambahan yang dikenakan untuk mendapatkan sijil GBI. Pengecualian ini diberikan kepada pembeli – pembeli yang melaksanakan jualan dan perjanjian – perjanjian pembelian bermula 24 Oktober 2009 sehingga 31 Disember 2014.

Untuk makluman Ali Yang Berhormat,

Pada 8 Oktober 2009 buku Incentives for Renewable Energy & Energy Efficiency in Malaysia telah dilancarkan. Antara lain yang digariskan dalam buku tersebut adalah insentif menarik untuk mengalakkan inisiatif dalam Tenaga Boleh Diperbaharu dan Kecekapan Tenaga untuk memperbaiki Power Quality (PQ) di antara pengeluar–pengeluar tenaga dan penguna–penguna di Malaysia serta untuk memastikan pembangunan ekonomi negara yang mapan di masa akan datang. Insentif–insentif yang ditawarkan termasuklah Pioneers Status (PS), Elaun Cukai Pelaburan dan Pengecualian Bayaran Duti Import atau Cukai Jualan ke atas mesin, peralatan, bahan–bahan, alat – alat ganti serta boleh guna.

Tuan Yang Dipertua,

Selaras dengan Teras Strategik 1 Dasar Teknologi Hijau Negara iaitu “Mengukuhkan Kerangka Institusi”, Kerajaan telah bersetuju Majlis Teknologi Hijau Negara ditubuhkan dengan dipengerusikan oleh YAB Perdana Menteri. Majlis Teknologi Hijau Negara bertindak sebagai satu Majlis Tertinggi untuk penyelarasan pembangunan Teknologi Hijau negara antara pihak Kerajaan, agensi, sector swasta dan pihak–pihak lain yang berpentingan (stakeholders).

Tuan Yang Dipertua,

Selain daripada penubuhan Majlis Teknologi Hijau Negara, Kerajaan juga telah memutuskan supaya Pusat Tenaga Malaysia distrukturkan semula kepada Pusat Teknologi Hijau Negara membantu mempergiatkan lagi usaha–usaha pembangunan Teknologi Hijau secara efektif dan kolektif

Tuan Yang Dipertua,

Kerajaan telah bersetuju dengan cadangan untuk menganjurkan Persidangan dan Pameran Antarabangsa Teknologi Hijau pada tahun hadapan. Sehubungan dengan itu, Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air akan menganjurkan Persidangan dan Pameran Antarabangsa Teknologi Hijau yang dinamakan “International Green Technology And Ecoproducts Exhibition And Conference Malaysia 2010” atau dikenali sebagai IGEM 2010 pada bulan Oktober 2010 dengan menjemput syarikat–syarikat terkemuka dunia untuk mengambil bahagian dan mempamerkan pelbagai jenis Teknologi Hijau. Persidangan dan Pameran Antarabangsa ini bertujuan untuk mewujudkan kesedaran di antara pengguna dan pihak industry mengenai kepentingan teknologi hijau dan produk-eko. Ia juga bertujuan untuk mempromosikan kemajuan produk mesra alam termasuk di dalam bidang teknologi, perkhidmatan dan pentadbiran. Persidangan dan Pameran ini juga akan dapat menggalakkan pusingan dan kitaran industry di dalam rekaan eko-industri dan bahan Teknologi Hijau bagi persaigan antarabangsa, kestabilan alam sekitar dan pembangunan jangka masa panjang.

No comments: