Thursday, September 11, 2014

DAP desak Ahmad Phesal jawab pemberian projek kepada kroni

Tindakan DBKL memberikan projek bernilai berbilion ringgit di pusat bandar Kuala Lumpur kepada sebuah syarikat milik bekas tentera tanpa melalui bidaan tender mengundang persepsi bahawa amalan korupsi diamalkan dalam organisasi ini.
PETALING JAYA: Ahli Parlimen Segambut, Lim Lip Eng menuntut supaya Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Ahmad Phesal Talib segera memberi penjelasan dan membuka ruang soal jawab kepada pihak wartawan mengenai pemberian tender Plaza Rakyat.
Menurutnya, sekiranya gagal untuk menjelaskan perkara ini, ahli-ahli Parlimen Pakatan Rakyat di Kuala Lumpur akan membangkitkan hal ini pada sidang Parlimen bulan hadapan.
“Datuk Bandar mesti menjelaskan apa sebabnya projek ini dianugerahkan kepada syarikat yang mempunyai hubungan dengan ahli politik kerajaan Barisan Nasional tanpa sebarang tender,” katanya dalam satu kenyataan.
Dua hari lalu, media arus perdana telah melaporkan bahawa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah ‘memilih’ sebuah syarikat untuk menghidupkan kembali projek Plaza Rakyat, namun malangnya telah gagal melakukan penawaran secara terbuka kepada pihak-pihak lain yang berminat. Projek berkenaan diserahkan kepada Profit Consortium Sdn Bhd.
“Tindakan DBKL memberikan projek berbilion ringgit di pusat bandar Kuala Lumpur ini kepada sebuah syarikat milik bekas tentera tanpa melalui proses bidaan tender menyebabkan kita sangsi. DBKL perlu memberi penjelasan demi kepentingan rakyat, kenapa perkara sebegini boleh terjadi?” soalnya.
Sebelum ini, projek Plaza Rakyat telah terbengkalai ekoran kerja pembinaannya terhenti sewaktu krisis ekonomi 1998.
Ia terletak betul-betul bersebelahan Puduraya, dan kelihatan seperti pusat pembiakan nyamuk paling meriah di tengah-tengah ibu kota Kuala Lumpur.
“16 tahun kemudian, kita mendapat khabar bahawa ia kini bakal diberi nafas baru dan pemaju baru, yang dilaporkan menjanjikan sesuatu yang lebih lumayan kepada pihak berkuasa tempatan, DBKL,” katanya.
Jelasnya, pihak DBKL bertanggungjawab memberi penjelasan tentang ketidaktelusan ini sekiranya ia tidak mahu orang ramai mengesyaki wujud korupsi dalam perincian projek yang diberikan tanpa tender ini.
Original news: http://dapmalaysia.org/statements/2014/09/11/19126/

No comments: