KUALA LUMPUR, 6 SEPTEMBER: Kenyataan
Datuk Seri Shahidan Kassim jelas membuktikan beliau dan majoriti akar umbi Umno
tidak pernah memahami mesej transformasi Perdana Menteri, kata Ahli Parlimen
DAP Segambut Lim Lip Eng.
Menurutnya, kenyataan Menteri di
Jabatan Perdana Menteri itu kelmarin bukan sahaja menggelikan hati, malah
bertentangan dengan hasrat Najib sendiri untuk memansuhkan akta tersebut.
“Perdana Menteri Datuk Seri Najib
Razak telah mengumumkan hasrat memansuhkan Akta Hasutan dua tahun lalu dan baru
saja mengulangi hasrat itu setelah Shahidan mendakwa ia tidak pernah dibuat.
“Jelas di sini ahli-ahli Umno tidak
memahami mesej transformasi Najib, yang bukan saja terbukti gagal disampaikan
ke peringkat akar umbi, malah turut terbantut di peringkat pucuk pimpinan.
“Takkanlah rakyat negara ini sekadar
perlu dengar kehendak akar umbi Umno? Takkanlah suara mereka sahaja yang
dipedulikan Shahidan?
“Bagaimana dengan rakyat yang bukan
ahli Umno? Apakah kehendak rakyat tidak penting di mata Shahidan?” soalnya
dalam satu kenyataan, hari ini.
Shahidan semalam mendakwa tidak
pernah berjanji memansuhkan akta kuno itu tetapi hanya mahu mengkajinya
walaupun Najib dua tahun lalu mengatakan sebaliknya.
Kenyataan Shahidan bercanggah dengan
janji Najib pada 11 Julai 2012 bahawa Akta Hasutan akan dimansuh dan diganti
dengan Akta Keharmonian Nasional sebagai sebahagian daripada program
transformasi kerajaan.
Sehubungan itu, Lip Eng mencadangkan
Shahidan menggunakan peruntukan parlimen bagi mendapatkan khidmat bancian
antarabangsa untuk mendapat maklumbalas di seluruh negara dan menentukan apakah
rakyat mahu memansuhkan Akta Hasutan.
Beliau yang juga Setiausaha DAP
Kuala Lumpur turut mencabar parti-parti komponen BN agar berani melakukan
bancian maklumbalas di peringkat bahagian masing-masing.
“Takkanlah MCA dan MIC hanya perlu
ikut saja kehendak akar umbi Umno, macam mana pula dengan kehendak ahli akar
umbi parti-parti komponen lain?” katanya.
Beliau turut menggesa Najib
menyegerakan janji itu termasuk menghentikan pendakwaan terhadap pimpinan
Pakatan Rakyat dan organisasi masyarakat.
“Saya berharap supaya janji Najib
bukanlah sekadar di mulut sahaja.
“Sewajarnya pendakwaan dihentikan dan ditarik
balik sekiranya Najib benar-benar ikhlas mahu memansuhkan undang-undang
tinggalan penjajah ini,” tegasnya.
No comments:
Post a Comment